Tuesday, 8 October 2013

Mengenalpasti Peluang Perniagaan

PERNIAGAAN bergantung kepada manusia dan aktivitinya. Selagi ada aktiviti-aktiviti ini, selagi itulah ada peluang-peluang perniagaan. Bukannya mudah untuk mengenal pasti peluang perniagaan, semua jenis perniagaan yang hendak kita lakukan, kebanyakannya telah dijalankan oleh orang lain. 

Oleh yang demikian, kita takut untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan, kerana kita tidak dapat mengenal pasti peluang perniagaan. Tetapi peluang ini terdapat pada seseorang yang mempunyai sifat-sifat keusahawanan. Semua jenis perniagaan yang ada sekarang berpunca daripada DAYA PEMIKIRAN. 

Berikut disenaraikan beberapa cara yang usahawan-usahawan gunakan untuk mengenal pasti peluang perniagaan.


DAYA FIKIRAN
GUNAKAN daya fikiran untuk berfikir setiap masa, tumpukan fikiran terhadap perniagaan, cuba ubahkan apa yang dilihat, supaya ia dijadikan barang perniagaan. Berfikir selalu. Gunakan daya imaginasi untuk membayangkan sesuatu yang boleh menimbulkan keuntungan, perkara atau barangan baru di pasaran. Jika kebolehan berfikir kurang, berkumpullah beramai-ramai dan adakanbrainstorming. Perbincangan begini selalu berhasil mengeluarkan ide baru.

MELALUI MASALAH YANG ADA
SEGALA aktiviti-aktiviti manusia mesti menempuhi masalah. Baik urusan di rumah, di pejabat dan lain-lain hal berkenaan dengan kehidupan manusia pasti akan menempuh masalah. Walaupun sekarang zaman sains dan teknologi moden, manusia tetap mempunyai masalah, tidak ada perkara yang tidak bermasalah. Jadi dengan masalah-masalah ini kita boleh menukarnya menjadi punca masalah. Penyelesaian kepada masalah merupakan peluang perniagaan, gunakan daya pemikiran untuk menyelesaikan masalah-masalah yang ada, dan fikirkan cara perniagaan yang bersesuaian sebagai penyelesaian masalah. Kebanyakan daripada perniagaan yang ada sekarang berpunca daripada masalah-masalah yang dihadapi oleh manusia dulu kala. 

MELALUI KEPERLUAN MANUSIA
Sememangnya kehidupan manusia, tidak kira apa bangsa memerlukan sesuatu untuk memenuhi kehendaknya. Manusia perlu makan dan minum, perlukan keselamatan, perlukan kesenangan dan kemewahan. Keperluan-keperluan ini biasanya berterusan tanpa berhenti selagi seseorang itu masih hidup. Dengan adanya keperluan-keperluan asas semulajadi manusia, usahawan terpaksa memikirkan barangan dan perkhidmatan yang baru untuk memuaskan hati manusia. Keperluan kepuasan hidup memang luas, boleh dikatakan dari segi makanan, keselamatan, kewangan, hiburan, pakaian dan lain-lain lagi. Keperluan semulajadi manusia telah menimbulkan beberapa jenis barangan seperti radio, televisyen dan telefon.

MENGKAJI SELIDIK BARANG YANG ADA
Barang-barang dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ada sekarang merupakan daya cipta, dan ubah suaian usahawan terdahulu supaya bersesuaian dengan keadaan sekarang. Tetapi oleh kerana aktiviti kehiduapan manusia terus berubah, barangan yang ada sekarang juga perlu berubah dan dikaji selidik. Perubahan kepada barangan yang ada dan rekaan barang-barang baru untuk barang-barang yang ada akan menampakkan bahawa barang itu barangan baru dan akan mendapat perhatian pengguna dan akan memberi peluang perniagaan kepada sesiapa yang mengubah atau merekanya.

MENELITI PERMINTAAN PASARAN
Kehendak dan keperluan pasaran berubah dari semasa ke semasa. Misalnya, pisang emas dan manggis untuk dieksport ke Jepun. Pucuk asparagus untuk dieksport ke Amerika Syarikat. Dalam segi perkhidmatan perniagaan, permintaan pengguna mewujudkan pasar tani dan pasar-pasar malam di beberapa tempat di Malaysia. Bakal usahawan terpaksa meneliti permintaan pasaran yang baru jika mahu mendapat peluang perniagaan.

MENELITI PERKEMBANGAN EKONOMI DAN PEMBANGUNAN NEGARA
Ekonomi negara juga berubah dari semasa ke semasa. Projek-projek pembangunan juga ada dari semasa ke semasa. Dengan adanya aktiviti ini, usahawan dapat mengenal pasti di mana projek-projek ini akan diadakan dan bagaimana kita boleh menceburkan diri dalam pembangunan tersebut. Misalnya, apabila ada rancangan Pembangunan Bandar Sungai Buloh, tuan punya tanah menaikkan harga tanahnya dan peniaga-peniaga lain berebut-rebut membeli tanah di Sungai Buloh. Sehubungan dengan rancangan ini, banyak projek-projek perumahan telah didirikan sebagai mengambil langkah merebut peluang perniagaan. Jika ada pembangunan dan projek baru, pasti akan ada juga peluang pembangunan yang baru.

MELALUI PERGAULAN HARIAN
Perhubungan dan pergaulan harian kita dapat memberi peluang perniagaan kepada kita. Dengan cara mengumpulkan maklumat-maklumat yang diberi, mungkin ia dapat diubah kepada satu perniagaan, dan kadangkala tawaran terus kepada kita sebagai peluang perniagaan. Misalnya, jika kita bergaul dengan pengurus bank, sedikit sebanyak maklumat-maklumat yang kita bincangkan bersama dapat dijadikan perniagaan. Lihat apa yang diusahakan oleh rakan-rakan kita. Dengar apa yang dicakapkan oleh orang-orang di sekeliling kita, proseskan, maklumat ini boleh digunakan sebagai  sumber perniagaan.

MELALUI BACAAN
Segala ide-ide baru yang diketahui oleh orang ramai melalui bacaan. Segala teknologi baru yang akan di keluarkan biasanya disiarkan di suratkhabar atau majalah. Jadi sebagai bakal usahawan, seseorang itu mestilah cepat dalam mendapat maklumat-maklumat terkini dan bertindak segera sebelum diketahui oleh orang lain. Peluang-peluang perniagaan banyak terdapat di suratkhabar tetapi orang ramai tidak dapat mengenal pastinya sama ada ia adalah peluang perniagaan atau tidak. Hanya orang yang mempunyai sifat-sifat usahawan dapat mengetahui yang mana peluang perniagaan dan yang mana bukan. Misalnya, suratkhabar dan majalah selalu mengeluarkan iklan mencari pengedar, mencari rakan kongsi, menjual perniagaan dan sebagainya. Bacaan-bacaan harian dapat membawa kita kepada peredaran pasaran, pembangunan negara dan mengetahui teknologi-teknologi yang baru di pasaran.

MELALUI KEMAHIRAN YANG ADA
Kemahiran seseorang merupakan punca perniagaan, kemahiran ini boleh dijual sebagai perkhidmatan atau kemahiran ini juga boleh mereka jadikan barangan baru untuk dijual. Contohnya, tukang-tukang besi yang membuat pagar-pagar besi dan rekabentuk berasaskan besi, ahli senireka yang membuat barang seni yang dijualkan di pasaran dan pelukis-pelukis yang menjual lukisannya. Seseorang yang pakar dalam bidang pendawaian elektrik sesuai untuknya berniaga sebagai juruelektrik dan pemasangannya. Begitu juga, sesiapa yang banyak pengetahuannya untuk segmen ceramah, seminar dan lain-lain kursus. Banyak lagi kemahiran yang boleh digunakan sebagai peluang perniagaan.

No comments:

Post a Comment