Friday, 8 November 2013

Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)

PUNB tingkat peruntukan kepada RM32.5j, transformasi perniagaan
Skim Prosper Teras yang diperkenalkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) bagi mentransformasikan perniagaan usahawan Bumiputera dalam sektor strategik diperluaskan dengan turut meliputi sektor pendidikan, terutama membabitkan pendidikan prasekolah.
Ketua Eksekutifnya, Dzulkifli Fadzilah, berkata dengan penambahan sektor pendidikan dalam skim pembiayaan itu, PUNB telah meningkatkan peruntukan dana menerusi skim itu kepada RM32.5 juta, yang mana sebanyak RM5 juta dikhususkan untuk disalurkan sebagai pembiayaan kepada pengusaha dalam sektor berkenaan.
“PUNB dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) masih meninjau sektor strategik lain yang mempunyai nilai tambah dan komersial yang tinggi untuk disertai oleh usahawan Bumiputera. Ini termasuk dengan mengkaji daya maju perniagaan, risiko perniagaan yang rendah serta potensi yang boleh diraih bagi mengurangkan kegagalan syarikat Bumiputera dalam perniagaan.
“Kami melihat sektor pendidikan prasekolah ini adalah satu peluang perniagaan yang baik dan boleh dimajukan kerana terdapatnya yang permintaan tinggi sejajar dengan peningkatan bilangan ibu bapa berpendapatan tinggi yang membolehkan mereka menghantar anak ke pusat pendidikan yang lebih baik,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pembiayaan Skim Prosper Teras yang dikendalikan PUNB dengan kerjasama TERAJU ketika ini hanya terbuka kepada sektor automotif, perkakasan dan bahan binaan, perkhidmatan profesional serta telekomunikasi.
Dzulkifli berkata, ketika ini empat pengendali pusat pendidikan awal kanak-kanak telah memperoleh pembiayaan menerusi skim itu, iaitu Brainy Bunch, Genuis Aulad, Little Caliphs dan Child Islamic Centres.
“PUNB akan memberikan khidmat nasihat dan pemantauan berterusan ke atas pengurusan dan operasi syarikat menerusi Skim Prosper Teras bagi membentuk urus tadbir korporat yang baik, serta latihan merangkumi pengurusan kewangan, pemasaran dan motivasi serta jaringan perniagaan,” katanya.
Dzulkifli menjelaskan, agensi itu memperuntukkan dana lebih besar kepada sektor automotif, iaitu sebanyak RM12.5 juta dengan sasaran membantu 80 usahawan kerana penyertaan tinggi Bumiputera dalam perniagaan bengkel kenderaan yang dilaksanakan secara kecil-kecilan terutama di kawasan luar bandar.
Katanya, pembiayaan yang disediakan menerusi skim berkenaan adalah bagi tujuan ubah suai premis, modal kerja, pembelian aset tetap dan stok barangan.
“Pembiayaan yang disediakan adalah antara RM50,000 hingga maksimum RM500,000 dengan tempoh bayaran balik dari dua hingga tujuh tahun. Bagaimanapun, peminjam perlu menyediakan modal sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah kos projek,” katanya.
Sementara itu, Dzulkifli berkata, PUNB menyasarkan meluluskan pembiayaan berjumlah RM195 juta tahun ini yang mana 85 peratus adalah untuk sektor pemborongan dan peruncitan.
Katanya, agensi itu juga menyasarkan untuk membiayai 630 perniagaan menerusi empat skim yang ditawarkan iaitu Skim Prosper Runcit, Skim Prosper Borong, Skim Usahawan Kecil dan Sederhana dan Skim Prosper Usahawan Muda (PUMA) dengan tawaran pembiayaan antara RM5,000 hingga RM5 juta.
“Tahun lalu, PUNB meluluskan pembiayaan berjumlah RM168 juta yang disalurkan kepada 539 perniagaan,” katanya sambil menambah setakat ini PUNB membantu lebih 2,000 perniagaan termasuk dalam sektor strategik.

http://www.punb.com.my/v2/index.php?option=com_content&view=frontpage&lang=ms&limitstart=30

No comments:

Post a Comment